Karnival Rasa Ramadan: Kehebatan Bufet ‘Selera Warisan Kampung’ di WTCKL

Menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) telah memperkenalkan bufet Ramadan bertemakan “Selera Warisan Kampung” untuk tahun ini. Hidangan istimewa ini dihasilkan oleh briged kulinari yang diketuai oleh Chef Eksekutif Suzaini Mohamed Salih. Satu lagi tarikan bufet kali ini ialah kembali hadirnya Nasi Kandar Saddam, hidangan yang sangat digemari di Kuala Lumpur dan menjadi kegemaran ramai. Hidangan ini disajikan lengkap dengan Ayam Goreng Bawang, Daging Masak Hitam, telur rebus, dan pelbagai sayur-sayuran yang menyegarkan.


Selain daripada hidangan tersebut, Briged Kulinari WTCKL turut menyajikan lebih daripada 300 jenis hidangan istimewa lain yang akan disajikan dalam lima giliran menu. Antara hidangan menarik termasuk Ikan Patin Goreng Berlada, Udang Rendang Daun Selasih, Daging Masak Hitam Dengan Cili Benggala, Sotong Kembang Masak Sambal Kacang Tanah, Ayam Goreng Masak Santan Berlada, Ketam Masak Kam Heong, dan Daging Tetel Masak Kalio. Sajian-sajian popular seperti Bubur Lambuk Istimewa, Aneka Sup Berempah, Aneka Kerabu, dan Kambing Panggang Bersama Sos Lada Hitam juga turut disediakan.

Bufet Istimewa Ramadan “Selera Warisan Kampung” ini akan bermula dari 13 Mac hingga 8 April 2024, setiap hari dari 6 petang hingga 10 malam di ruang makan eksklusif WTCKL di Aras 2, Legar Putra. Untuk mendapatkan harga promosi, bufet ini boleh ditempah lebih awal dengan harga RM108 seorang. Harga asal bufet Ramadan ini adalah RM128 nett untuk dewasa, RM73 nett untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun, dan warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Bagi yang ingin menyertai bufet ini, boleh mendapatkan baucar pembelian awal dari Restoran Riverside, atau melalui talian 03 2614 6701/6702 atau Easy Store. Sebagai kemudahan berbuka puasa, WTCKL turut menyediakan ruang solat khusus di Surau Ar-Rahman, lengkap dengan sejadah dan kemudahan wuduk, serta Imam untuk mengetuai solat Maghrib, Isya’, dan Tarawih.

Bagi kumpulan yang besar, WTCKL menyediakan pakej ‘Get Together’ Selera Warisan Kampung bermula dari RM138 seorang dengan tempahan sekurang-kurangnya 250 orang. Pakej ini termasuk penggunaan dewan, bilik VIP, tempat letak kereta VIP, pentas, PA system, skrin LED, dan surau khusus.

Ramadan kali ini juga ditekankan kelestarian alam dengan penawaran sambutan Ramadan yang lebih hijau. Tetamu boleh membeli mangkuk tingkat ‘Tiffin Carrier’ edisi terhad WTCKL dengan harga RM59 untuk tiffin 3-tingkat (saiz dimensi 12cm) dan RM79 untuk saiz dimensi 16cm. Tiffin ini membolehkan tetamu membawa pulang makanan dari bufet Ramadan untuk bersahur di rumah, seiring dengan semangat kelestarian alam yang semakin ditekankan pada masa ini.