Cart 0

Aneka lebih 300 hidangan iftar istimewa bertemakan 'Selera Warisan Kampung'

Aneka lebih 300 hidangan iftar istimewa bertemakan 'Selera Warisan Kampung'

KUALA LUMPUR: Gema Ramadan belum berdendang, namun sudah banyak hotel, restoran dan kafe dan lain-lain premis ada yang sudah mula mempromosi juadah iftar.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Antaranya, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bakal menyajikan pelbagai jenis hidangan yang mengetengahkan makanan dan masakan tradisi Malaysia.

Dengan mengangkat tema 'Selera Warisan Kampung', lebih 300 juadah dan hidangan yang istimewa serta lazat lagi menyelerakan disediakan bagi tetamu yang ingin menikmati makanan dengan suasana kampung ketika berbuka.

'Nasi Kandar Saddam' antara hidangan yang paling popular dan digemari di ibu kota sebagai sebahagian daripada hidangan istimewa Ramadan di sini dengan Ayam Goreng Bawang dan Daging Masak Hitam yang menyelerakan dihidang bersama telur rebus dan pilihan sayur-sayuran.

Menurut Pengurus Komunikasi Pemasaran WTCKL, Hadi Wahab, dengan adanya hidangan ini di WTCKL, orang ramai tidak perlu beratur lebih 30 minit untuk mendapatkan makanan ini seperti yang sering berlaku.

Antara hidangan istimewa lain dengan lima menu termasuk Ikan Patin Goreng Berlada, Udang Rendang Daun Selasih dan Daging Masak Hitam Dengan Cili Benggala.

"Sotong Kembang Masak Sambal Kacang Tanah, Ayam Goreng Masak Santan Berlada, Ketam Masak Kam Heong dan Daging Tetel Masak Kalio juga ada.

"Tidak dilupakan hidangan paling popular kami yang sentiasa menjadi pilihan tetamu setia iaitu Bubur Lambuk Istimewa, Aneka Sup Berempah, Aneka Kerabu, Kambing Panggang Bersama Sos Lada Hitam dan banyak lagi," katanya ketika ditemui pada Majlis Media Review sempena pengenalan Bufet Ramadan WTCKL, baru-baru ini.

"Promosi pembelian awal dijual pada harga RM108 seorang, manakala harga asal bufet Ramadan 'Selera Warisan Kampung' adalah RM128 seorang untuk dewasa dan RM73 seorang untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun serta warga emas berumur 60 tahun ke atas.

"Baucar pembelian awal boleh dibeli sekarang.

"Bufet Ramadan Selera Warisan Kampung akan berlangsung dari 13 Mac hingga 8 April depan di ruang makan eksklusif WTCKL yang terletak di Aras 2, Legar Putra. Ia akan beroperasi setiap hari dari 6 petang hingga 10 malam," katanya.

Pengunjung tidak perlu risau atau bergegas pulang untuk solat kerana WTCKL menawarkan kemudahan ruang solat khusus di Surau Ar-Rahman, lengkap dengan sejadah, kemudahan wuduk di lokasi dan Imam untuk mengetuai solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Jika merancang ingin berbuka puasa dalam kumpulan besar, WTCKL turut menyediakan pakej 'Get Together' Selera Warisan Kampung untuk tetamu meraikan rakan perniagaan, jamuan persendirian, korporat atau keluarga dalam ruang dewan yang akan disediakan.

"Pakej 'Get Together' Selera Warisan Kampung ditawarkan dari RM138 bersih seorang dengan tempahan sekurang-kurangnya 250 orang. Pakej ini termasuk penggunaan dewan, bilik VIP, tempat letak kereta VIP, pentas, sistem siar raya, skrin LED, dan surau khusus," katanya.




Older post Newer post